Halaman

Sabtu, 30 November 2013

TraveLog Istanbul, Turkiye - Ku Tinggalkan Jejak Kakiku Di Sana - Bahagian 1



OFF TOPIC 

Assalamualaikum wbt 

Hari ini off topic. Mana taknya off topic kalo tiap hari aku ingatkan memori Istanbul ku bersama isteri pada Oktober yang lepas. Aku memang benar-benar rindukan Istanbul, entah kenapa, bukan kerana makanannya dan bukan juga kerana gadis gadis turki yang putih dan comel lote, tapi mungkin berkait rapat sejarah Islam itu sendiri. Pemerintah yang ku kagumi, yang mana disebut sendiri (tanpa nama) oleh Baginda Rasulullah saw…sebaik baik pemerintah dan sebaik baik tentera yang menawan Konstatinopel. 

SEBELUM ISTANBUL

Aku yang nak pergi luar negeri? Setakat Palembang, Indonesia, itu lah yang paling jauh aku lawat. Tak pernah aku nak keluar dari bumi Malaysia sejauh-jauhnya apatah lagi dari bumi Asia Tenggara. Tetapi racunan dari Beto Kusyairy dan Lisa Surihani dalam Istanbul Aku Datang membuatkan aku terpana. Amat cantik Istanbul ini. Niat dah ada, tapi belum lagi nak buat tindakan. Tiba-tiba kakak sulung aku menambah lagi racun itu. Dan pada penghujung Disember 2012, maka selesailah aku membooking tiket untuk pergi 4 orang, aku dan isteriku bersama kakak dan abg ipar aku. Sebelum tu bincang nak berapa hari, mulanya 5 hari 4 malam. Tapi kakak aku bertegas nak 7 hari 6 malam. Katanya apa guna berjalan jauh dengan hanya 5 hari sahaja. Jadi aku naikkan hari perjalanan jadi 7 hari. Saya menurut perintah. 

Planning perginya Oktober 2013. Jadi aku ada 10 bulan untuk merancang perkara lain dan menyimpan duit. Bab ni kena terus terang. Aku bukannya seorang yang banyak menyimpan. Ada la sikit-sikit tapi kebanyakannya untuk keperluan seharian. Jadi untuk pergi ke Istanbul ni sesuatu yang besar bagi aku. Ni belum pergi haji ke Mekah lagi ni, pergi Istanbul pun dah kelam kabut begini. 

Tambahan pula, media di televisyen dan suratkhabar sering memainkan isu demonstrasi politik di Turki terutamanya di Istanbul. Dan isteriku dah berasa kurang selesa dengan berita demonstrasi tu dan minta aku fikirkan semula. Bagaimana caranya aku berfikir? 

Sebab alim ulama kata, nak buat keputusan, jangan tanya manusia. Tanya Allah. Jadi aku buat lah solat sunat istikharah untuk minta petunjuk. Dan aku bagitau kakak aku jika keadaan di Turki tak selamat, maka kita bole jual balik tiket tu, tapi rugi dalam RM300-RM400 ratus. Tapi kakakku berkeras jugaklah, katanya..ikut kata mak..jika ada ‘jereki’, Insyaallah..adalah. 

Aku berpegang kepada kata-kata itu. Dan berdoa supaya tiada apa-apa aral melintang sebelum ke sana. Dan tiba-tiba pulak bulan Mac 2013, kakak kedua aku umumkan nak kahwin. Dan Alhamdulillah, tarikh ke Istanbul tu awal seminggu dari tarikh pernikahannya. Aku sungguh bersyukur. Bukan senang nak adjust masa dan tarikh sendiri, isteri dan orang lain. Jadi menunggu lah dengan sabar dan aku masih lagi menunaikan solat sunat istikharah untuk minta petunjuk. 

Sebelum masanya pergi, aku mencari maklumat di internet dan blog-blog. Ada banyak panduan samada oleh orang kita ataupun orang luar. Jadi amat mudah untuk membuat keputusan. Terutamanya cuaca yang ada di Istanbul. Dari research aku, cuaca di Istanbul sudah hampir habis musim luruh dan nak masuk musim sejuk. Tapi pakaiannya bagaimana? Aku dapat tahu kena guna jugak jaket tebal dan sarung tangan, mana tau tak tahan. Hotel? Ada Agoda dan Booking.com. tapi aku lebih memilih Booking.com. Mulanya bajet sehari RM250 untuk semalam. Dan akhirnya dikira untuk 7 malam dapatlah RM1,750. Banyak jugak tu..hehe..jadi aku turunkan sikit jadi lah RM150 semalam. Dapatlah RM1,050 untuk 7 hari. Tu kira hotel murah, tapi taktau bagaimana rupa hotelnya. Lepas ni berceritalah hehe..tapi tak jugak booking sebanyak tu. Malahan lebih banyak. Jadi di Booking.com ada polisi Pay Later, so aku beruntunglah..sampai Istanbul aku bayar. 

Anak? Isk isk..bab ni memang menguji aku dan isteriku. Sehari sebelum berangkat, aku dan isteriku menghantar mereka 3 beradik Aniqah, Ameera dan Insyirah di Temerloh dan bapa mertua aku datang ambik. Sedih jugak tinggalkan sebab yang kecik tu masih menyusu badan. Namun terpaksa jugak lah sebab aku tak tau bagaimana keadaan di sana nak bawa anak kecik. 

HARI KEBERANGKATAN 

Satu perkara yang lupa. Aku booking untuk 3 orang sahaja. Hehe..mulanya abg ipar aku taknak, tapi last minit tukar fikiran. Dan tiada lagi tiket murah, yang ada cuma MAS, mahal sikit dalam seratus dua berbanding flight kami iaitu RM2512 seorang menggunakan Qatar Airways. Bagaimana nak cari tiket murah ni? Log in ke www.farecompare.com dan taip Kuala Lumpur ke Istanbul. Sekarang ni aku jumpa 1 lagi aplikasi android yang cukup bagus. SkyScanner namanya. Download di smartphone masing-masing dan boleh cari tiket murah di serata dunia. 

Hari Sabtu 19 Oktober 2013, aku, isteriku dan kakak ku berangkat dari KLIA jam 10.20am. Abang ipar aku dah terbang jam 12.10 tengah malam sebelumnya menaiki MAS penerbangan terus yang memakan masa selama 9 hingga 11 jam lebih kurang. Kali ketiga aku naik keretapi di penerbangan antarabangsa, almaklum aku bukan jenis yang selalu terbang ke luar negara. 



Selain MAS, AirAsia, Fireflyz dan Transmile Air, Qatar Airways adalah syarikat penerbangan ke 5 aku pernah naiki. Dan Qatar Airways adalah syarikat penerbangan terbaik di dunia tau! Ok…kita akan tengok terbaik atau tidak sepanjang 7 jam perjalanan ke Doha. Kenapa Doha? Sebab transit sebelum ke Istanbul kena landing dulu kat Doha. Dan dari Doha penerbangan selama 4 jam ke Istanbul. 

Makanan ok dan layanan pun ok. Dan tiada sebab tidak diberikan Syarikat Terbaik Dunia. Pramugarinya sahaja yang ada dan aku perasan kebanyakannya bukan orang Arab Qatar yang jadi kru kabinnya. Ini disebabkan Qatar Airways mempunyai kakitangan udara dan ground yang berbilang bangsa di dunia. Sebab tu ada wajah Korea dan Jepun jadi pramugarinya. MAS berbeza sebab kita mementingkan rakyat kita untuk syarikat penerbangan nasional kita dan itu adalah satu polisi. Mungkin Qatar sendiri bukan negara yang besar tetapi kaya dan boleh mengambil orang asing menjadi kakitangannya.

DOHA, QATAR 2.30 PETANG

Jam 1.30 petang waktu Doha, Qatar. Perbezaan masa dengan Kuala Kumpur adalah 5 jam. Bermakna di Doha berbanding Kuala Lumpur, kena tolak 5 jam. Perjalanan 7 jam amat memenatkan. Tetapi layanan yang baik biasa menghilangkan semuanya. Ditambah dengan filem filem menarik yang disajikan semasa penerbangan. Dan aku seorang peminat filem sudah tentu tidak melepaskan peluang untuk menonton filem yang belum aku tonton di pawagam. 

Ruang udara Hyderabad, India semasa penerbangan ke Doha
Doha dari pandangan udara
Di ruang udara Doha memang kelihatan padang pasir yang luas. Dan inilah lapangan terbang yang paling jauh pernah aku lawati selepas Bandara Sultan Badrudin, Palembang..hehe…bagaimana keadaan Lapangan Terbang Antarabangsa Doha ni? Terus terang aku katakan, airport ni memang sibuk dan terlalu ramai. Memang lah sebab airport Doha adalah antara yang tersibuk di dunia. Tetapi bergerak transit dari satu kapal terbang ke kapal terbang yang lain amat memenatkan. Menaiki bas selama 30 minit seolah-olah airport tu amat besar sekali tetapi perkhidmatan transitnya amat teruk. Elok lagi dibandingkan dengan KLIA. 

Jam 2.30 petang waktu Doha, Qatar Airways yang aku naiki meninggalkan Doha dan terbang menuju Istanbul. Perasaan aku…Ya Allah! Dalam masa 4 jam lagi nanti, aku akan menjejak kaki di tanah yang disebut-sebut dalam Sejarah Islam. Tak pernah aku alami perasaan ini. Konstatinople/Islambul/Istanbul menjadi pusat pemerintahan kerajaan silam dari Byzantine hinggalah ke Uthmaniyah Turki atau lebih dikenali sebagai Ottoman 

ISTANBUL JAM 6.30 PETANG 

Tepat jam 6.30 petang, Qatar Airways menjejakkan tayarnya di tanah Istanbul, menandakan hadirnya aku di tanah yang bersejarah ini. Aku menjadi amat teruja dan belum lagi aku turun dari kapal terbang, aku dah tetapkan dalam mindaku yang aku taknak balik ke Malaysia..hahaha!! Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk adalah lapangan terbang yang moden, besar dan penuh dengan manusia seperti Doha. Dan juga airport free tax hehe… 

Satu insiden yang aku tak boleh lupakan apabila salah satu beg aku lambat naik dan menunggu hampir setengah jam. Beg yang ada hanyalah beg yang penuh dengan makanan seperti maggi, milo, nestum dan sebagainya. Aku dah terfikir dah, kalau takda jugak beg aku, aku kena beli terus semua barang keperluan di sini. Alhamdulillah, selepas setengah jam tercegat di ruang menunggu beg, akhirnya beg aku sampai dan tak perlu shopping terlalu awal hehe.. 

RINGGIT MALAYSIA KE DOLLAR KE TURKISH LIRA 


Satu perkara yang aku selalu pantau sebelum aku ke Turki adalah matawangnya. Sememangnya matawang Turki amat tinggi berbanding RM iaitu 1TL (Turkish Lira) = RM2 lebih kurang. Jadi aku cuba tukarkan matawang Turki tetapi dimaklumkan matawang tersebut tidak diniagakan di KLIA. Jadi aku tukarkan la ke US Dollar. Dengan RM1,000 dapatlah USD340. Dan setibanya aku di Ataturk Airport, aku tukarkan USD tu ke Turkish Lira dan dapat la dalam 600TL++ .

Abang ipar aku? Dialah sebenanrya tourist guide di sana. Hehe..rupanya dia dah berjalan kaki dari hotel ke Hagia Sofia, Blue Mosque dan Grand Bazaar, tempat yang menjadi tumpuan pelancong…so memang ada hikmahnya dia terbang dulu. 

Menaiki teksi dari airport memang mengujakan. Teksinya adalah MPV jenama BMW. Wow!! Haha!! Kali pertama aku naik teksi BMW yang besar dan harganya adalah 80TL bersamaan RM160. Tapi ada promosinya jika kita merancang untuk balik, boleh dipanggil teksi yang sama dan harganya cuma 60TL, cuma kena hubungi balik syarikat teksi tu. 

Gambar Hiasan, tapi memang beginilah teksi MPV nya
Apa yang kita bole nampak waktu malam di Istanbul. Tak banyak sebenarnya sebab aku dan isteriku serta kakak aku masih lagi jet lag dan belum mampu untuk melihat semuanya. Perjalanan dari Atarturk Airport ke hotel aku mengambil masa selama 40 minit. Keadaan jalanraya sibuk tapi tiada traffic jam seperti Kuala Lumpur. 

ISTANBUL SYDNEY HOTEL, MUHSINE HATUN MAH, TAVASI CESME SOK, KUMKAPI, ISTANBUL 

Susah nak baca kan? Ini adalah terjemahan nama hotel dan lokasinya. Dan untuk sebut Kumkapi bukan dengan ‘i’ tetapi ‘e’ iaitu KUMKAPE. Huruf rumi Turki ni serupa macam rumi Melayu dulu iaitu ‘e’ taling dan ‘e’ pepet. Pernah dengar? Hahaha!!! 

Hotel Istanbul Sydney ni dalam kawasan Fatih. Dan untuk ke hotel memang jalannya amat sempit sekali, walaupun hanya sehala sahaja. Ada jalan di kawasan Fatih ni macam sehala tapi tengok lori dan kereta pun berhimpit melalui jalan tu. Rupanya hotel kami ini di kawasan kejiranan Fatih, macam kampong la tetapi bangunan hotel sama dengan bentuk rumah yang ada di situ. Dan bolehlah dikatakan hotel itu adalah hotel bajet. Dengan 7 malam, aku membayar RM1400 bersamaan dengan 650TL lebih kurang. Asalnya yang aku tau mengikut Booking.com, aku hanya membayar 520TL tapi mungkin ada perbezaan matawang dan sebagainya, aku tak kisah untuk membayar lebih sedikit sebab nak dapat hotel bajet berdekatan Blue Mosque amat payah. Sebelum memasuki bilik, aku dimaklumkan yang ada heater dan aircond. So aku pilih heater, mana tau sejuk sangat. Biliknya ok cuma kecik sedikit dan tak sesuai untuk keluarga 4 orang termasuk anak kecik. Tapi itulah sebenarnya aku tak boleh nak bawak anak-anak sebab aku tak tau apa sebenarnya yang aku akan dapat di Istanbul. Kalau dah macam ni, insyaAllah ada rezeki akan datang, akan pergi dan tau dah apa yang perlu dilakukan sebelum pergi. 

Selepas memasuki bilik, aku mengajak isteriku makan di atas bumbung seperti mana yang dinyatakan oleh pengurus hotel, “if you want hot water, you can go upstairs”. Oleh kerana lapar dan mendapat inspirasi dari filem Istanbul Aku Datang, maka Maggi Assam Laksa aku bersama isteriku bawa naik ke atas bumbung. 

Waktu malam memang tak dapat nak digambarkan sebab terlalu gelap tetapi cuaca amat sejuk sehingga ke tulang. Dan dari jauh aku boleh melihat Blue Mosque dan masjid-masjid kecil yang lain. Di sini masjid disebut Camii dalam bahasa Turki dan Blue Mosque juga disebut sebagai Sultanahmet Camii. Tak banyak boleh diceritakan waktu malam tapi maggi Assam Laksa memang amat sedap waktu ini.

Hanya nampak Blue Mosque dari kejauhan

BERSAMBUNG...

Khamis, 14 November 2013

Nasi Ayam Ikatan Bersama - One Of The Best Recipe Ever

Assalamualaikum wbt

Nasi ayam? Chef Nadiah tanya aku, pernah ka post nasi ayam dalam blog?? Errr..dengan selambanya aku cakap..PERNAH..tetiba dia jawab pulak...mana aderrrr....ermmm...tau tak pernah...tanya lagi..isk iskk..

Then, bulan puasa yang lepas, pada minggu yang terakhir puasa, Chef Nadiah nak buat Nasi Ayam...hehehe...apalagi...Assistant Chef kena ada sebab selama ni yang buat nasinya..AKU LAH!! hahaha!!!

Jom tengok resepinyerrrr!!!!

Bahan utk perap ayam: (dikisar) 
1 biji bawang besar
2 biji bawang putih
1/2 halia
Kicap manis
Sos tiram

Untuk sambal:

Cili besar
Sedikit sos cili
Garam
Serbuk perisa
Sedikit gula
(Bahan2 ni dikisar)

Untuk kicap:

Guna kicap perapan ayam tadi dan ditambah sedikit sup..

Untuk Sup:
Air rebusan ayam
Kiub pati ayam
Taugeh
Garam
Serbuk perisa
Halia (dititik)
Daun sup dan bawang merah

Untuk Nasi:

Basuh beras sehingga bersih kemudian gunakan air rebusan ayam td untuk nasi..apabila nasi dh hampir masak masukkan 2 sudu planta tuk bg nasi kekuningan..masukkan sedikit susu cair,garam dan sedikit serbuk perisa...gaul sebentardn biarkan nasi masak.