Halaman

Selasa, 3 Disember 2013

TraveLog Istanbul, Turkiye - Ku Tinggalkan Jejak Kakiku Di Sana - Bahagian 3

BAHAGIAN 3 - MENYUSUR LALUAN REMPAH RATUS

Jalan-jalan di Istanbul, tanpa menggunakan pengangkutan awam amatlah meletihkan. Tetapi yang bestnya, kita boleh melihat sekeliling, kedai-kedai orang Turki, cara mereka menyapa kita, besar atau kecilnya lorong-lorong mereka dan sebagainya.

Apa yang aku perhatikan di Istanbul, kebanyakan warganya memilih untuk menggunakan pengangkutan TRAM ataupun berjalan kaki, Jarang nampak kenderaan peribadi di jalanraya, mungkin kawasan tersebut ada tempat bersejarah, maka perkhidmatan tram diutamakan untuk tujuan pelancongan. 


Gambar di atas menunjukkan perkhidmatan tram yang disediakan di Istanbul. Yang ni aku ambik dari internet lah. Kami menggunakan tram dari Stesen Beyazit, kadang-kadang turun di Sultanahmet, kadang-kadang di Gulhane dan rasanya sekali di Kabatas. Cara menaikinya; beli token berjumlah 3TL (RM6) dan naiklah selama yang mahu. Jika anda hanya mahu ke Sultanahmet, mungkin rugi sedikit sebab dekat. Selepas Beyazit, hanya melalui Stesen Cembelitas dan terus ke Sultanahmet. Sebab itulah kami sehingga hari ke 3, kami hanya berjalan kaki sahaja. 




Ok..bahagian kedua aku sebut tentang shawl kan? Selepas kami keluar dari Hagia Sofia pada hari sebelumnya, isteri aku ada 2 pasang shawl, bukan apa..dek kerana murahnya dan aku pun tak galakkan dia membeli terlalu awal. Jadi esoknya dia memakai shawl tersebut dan tampak amat mudah mengenakannya. 


Kainnya amat lembut dan mudah dibentukkan. Tapi disebabkan hari seterusnya, kami ingin melihat-lihat lagi kawasan, jadi aktiviti shopping ditangguhkan sementara waktu. 

MASJID SULAIMAN / SULAYMANE CAMII

Selepas minum pagi, tourist guide kami iaitu abang iparku sendiri mengajak kami untuk pergi ke Masjid Sulaiman ataupun Sulaymane Camii. Tidak jauh dari Grand Bazaar, kami menyusuri lorong-lorong kecil untuk ke masjid tersebut. Seperti biasa, rekabentuk masjid ini sama dengan rekabentuk yang lain. Tetapi keindahannya tidak terkata. 





Satu perkara yang anda akan perasan semasa di Istanbul, jarak masjidnya atau camii amat dekat sekali. Sebagai contohnya, Blue Mosque amat dekat dalam 5 minit berjalan kaki ke Masjid Sultan Mahmud Turbesi dan dari Masjid Sultan Mahmud, terdapat pula Masjid Sultan Murad Turbesi. Kenapa masjid-masjidnya semuanya berdekatan antara satu sama lain? Aku tak dapat jawapannya, tapi andaian aku yang marhaen ini ialah, dulunya masyarakat Islam amat dekat dengan masjid. Semua aktiviti dijalankan di masjid, jadi penuhlah masjid untuk aktiviti seharian mereka. Dan juga solat waktu juga penuh, memungkinkan masjid lain dibina berdekatan.

Suara azan bagaimana? Amat mengasyikkan! Kami berada di Taman Blue Mosque pada waktu Isyak dan mendengar azannya bergilir-gilir. Contohnya, selepas Blue Mosque mengalunkan "Allahuakbar" yang pertama, maka Masjid Sultan Murad Turbesi akan mengalunkan kalimah yang sama. Kemudian kalimah "Allahuakbar" yang kedua datangnya dari Blue Mosque, Masjid Sultan Murad akan mengikuti selanjutnya. Disebabkan itulah azannya panjang dan mengambil masa sehingga 20 minit.

MISI MENCARI SPICE BAZAAR

Selepas Masjid Sulaiman, misi seterusnya adalah Spice Bazaar. 'Tourist guide' kami mempunyai peta pelancong yang diberikan oleh staf hotel. Jadi kami pun berjalan mengikut panduan peta tersebut. Lorong-lorong di kawasan sekitar ada yang sempit dan ada yang besar boleh memuatkan sebuah lori melaluinya. Tetapi kebanyakan sehala untuk mengelakkan kesesakan di kawasan tersebut.




Setelah sesat hampir sejam, akhirnya kami menemui Spice Bazaar. Tau berapa lama bazaar ni wujud? Sejak tahun 1660 menjadi tempat persinggahan dan pengumpulan rempah ratus dari Asia. Orang terlalu ramai dan padat berhampiran pintu masuk Spice Bazaar dengan pelanggan dan pelancong bertali arus.


Jom kita masuk ke dalam Spice Bazaar. Yang peliknya, dalam bazaar tersebut, keadaannya tak la terlalu sesak. Mungkin disebabkan orang ramai dan pelanggan masuk ke dalam kedai memilih manisan-manisan yang ada. 




Inilah pilihan ramai : Manisan Pistachio

Banyak pilihan manisan berserta warna yang terdapat di kedai-kedai di dalam Spice Bazaar ni. Seperti biasa, kami "cair" dengan penjual yang pandai sedikit bahasa Melayu. Dan selepas memilih manisan, kami bergambar kenang-kenangan dengan penjual manisan tersebut.
Katanya mukanya seperti George Clooney...ada la sikit sikit hehe
Latar belakang adalah pintu masuk sebelah Eminonu

Satu perkara yang anda perlu ingat apabila keluar dari Spice Bazaar di sebelah Eminonu ni. Jangan terkejut dengan sapaan pemuda yang membawa beg plastik kerana mereka adalah penjual minyak wangi. Ingatan aku, JIKA ANDA BERNIAT UNTUK MEMBELI MINYAK WANGI TERSEBUT, JANGAN TAWAR MENAWAR DENGAN MEREKA DAN BIARKAN MEREKA MEMBERI DISKAUN "GILA-GILA" KEPADA KITA. Seperti yang akan kami alami, kami biarkan mereka mengekori kami sehingga mereka memberikan harga terendah dari 100TL untuk 6 jenis minyak wangi menjadi 60TL untuk semuanya. ASALKAN SELEPAS MEMBELI, JANGAN BERLENGAH LAGI DAN TERUS MENINGGALKAN TEMPAT TERSEBUT kerana yang berjaya menjual akan memanggil kawannya yang lain. Tapi boleh dipastikan, minyak wangi seperti Lacoste, Kenzo, Armani yang kami dapat adalah yang original berdasarkan botol dan kotaknya. Mungkin seludup dari sempadan sebab Turki sememangnya berada di tengah-tengah di antara Eropah dan Asia.


Selepas kami berjaya melepaskan diri daripada penjual minyak wangi yang "ekstrim", kami berjalan ke arah Jambatan Galata tidak jauh dari Galata Tower. Di atas jambatan sempat kami mengambil gambar kaki pancing di tengahari yang terik tetapi udaranya sejuk dan nyaman.


Disebabkan keletihan, kami mengambil keputusan untuk balik ke hotel tetapi bukan menaiki tram tapi berjalan kaki balik menyusuri jalan tram dari Eminonu-Sirkeci-Gulhane-Sultanahmet-Cemberlitas-Beyazit. GILA JAUH!!!! Dan sempat singgah untuk makan hehe..


Dengan lemah longlainya kami berjalan kaki balik ke hotel di Fatih. Dan sempat singgah sementara di Grand Bazaar untuk meninjau sebelum memulakan aktiviti shopping secara besar-besaran esoknya hahaha!!!


KITA SAMBUNG KE BAHAGIAN 4 YERR NANTI..INSYAALLAH...






Tiada ulasan:

Catat Ulasan